Saturday, June 26, 2010

13 wasiat Rasulullah kepada Saiyidina Ali

Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa Ali Abi Talib berkata:"Pada hari perkahwinanku dengan Fatimah, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku."

1. Hai Ali, takutilah engkau daripada memasukki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barangsiapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia dapat laknat (mal''un).

2. Hai Ali, janganlah engkau ''memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah.'' Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

3. Hai Ali, sesungguhnya Allah mengkagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: "Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa anta" (Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman, "Hai Malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku, jadilah saksi bahawasanya Aku telah mengampuni dia."

4. Hai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.

5. Hai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan keatasnya siksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya dipintu syurga.

6. Hai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, samada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan dharurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak mensucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.

7. Hai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah Taala mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

8. Hai Ali. Takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9. Hai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek gigi. Bahawasanya bersugi itu mensucikan mulut, mencerahkan mata dan diredhai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan dicelah gigi tidak dicolek selepas makan.

10. Hai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankanlah diri engkau dapada dikuasai oleh kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

11. Hai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau perolehi peruntukan daripada Allah.

12. Hai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau benci juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukum. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

13. Hai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumahmu. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

*Hai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan perolehi kemenangan dan kelepasan, insya''Allah.

Walaupun wasiat ini ditujukan khusus untuk oleh Rasulullah SAW untuk menantu baginda, Saiyidina Ali Bin Abi Talib KAW, namun kita juga sebagai muslimin dan muslimat, perlu menjadikannya sebagai iktibar dan amalan. Segala larangan dan suruhan Rasulullah SAW melalui wasiat ini adalah untuk seluruh muslimin dan muslimat. Tidak dinafikan bahawa kesemua tiga belas perkara dalam wasiat ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri utama seorang mukminin dan mukminat.

Jika kita lihat kepada pemakaian cincin seolah-olah nampak perkara remeh begitu juga menutup aurat sewaktu mandi. Sebenarnya suruhan dan larangan itu mengandungi hikmah yang tersendiri yang antaranya sukar diselami dan difahami. Pemakaian cincin di jari telunjuk dan jari tengah ibarat satu kiasan Rasulullah kepada amalan liwat yang dilakukan oleh kaum Mal''un di zaman Nabi Lut as.

Begitu juga sewaktu di bilik mandi, banyak orang mengatakan kita tidak perlu berkain basahan lagi kerana tidak ada sesiapa yang melihat. Tanggapan ini adalah salah kerana masih ada yang melihat kita. Wasiat Rasulullah SAW itu untuk mengingatkan kita walaupun kita bersendirian dan terlepas daripada pemerhatian manusia, sebenarnya kita tidak terlepas daripada perhatian Allah, malah kita sebenarnya ada bersama dengan malaikat, syaitan dan iblis.

Jikalau kita rujuk kepada wasiat larangan berdusta dan bersumpah dengan nama Allah di mana kita lihat dewasa ini sewenang-wenangnya digunakan seolah-olah ianya sesuatu yang tidak ada makna, sedangkan suruhan dan larangan Allah tidak dipedulikan langsung.

Lazimkan bagi lidah kita beristighfar semoga kita tergolong dalam golongan hamba Allah yang beruntung. Semoga wasiat ini menjadi panduan kita bersama.

No comments:

Post a Comment